Ads 468x60px

Selasa, Mei 11, 2010

Pandangan Dr. Asri di Malaysiakini.

'M'sia bukan masyarakat judi'
Dr Mohd Asri Zainul Abidin
Mei 9, 10
5:52pm
Kenyataan Timbalan Menteri Kewangan Datuk Awang Adek Hussein bahawa kerajaan
pusat mempertimbangkan untuk mengeluarkan lesen judi sempena Piala Dunia 2010
demi mengelakkan berleluasa kegiatan judi haram adalah satu kenyataan yang
memalukan dan amat menyalahi cara fikir yang lurus.

Saya ingin tegaskan hal ini berasaskan perkara berikut:

1. Dari segi Islam adalah menjadi asas bahawa 'tindakan pemerintah terikat dengan

maslahah'. Maslahah dalam konteks ini adalah kepentingan atau kebaikan rakyat dan

negara itu sendiri.


Ini seperti juga yang disebut oleh al-Imam al-Syafi'i r.h:

“Kedudukan pemerintah di sisi rakyat bagaikan kedudukan penjaga anak yatim”

(lihat: Al-Sayuti, al-Asybah wa al-Nazair).

Apakah memberikan lesen judi itu memberikan kebaikan atau mempunyai kepentingan

umum rakyat? Atau ia hanya kepentingan segelintir taukeh dan kaki judi semata?

Jika ia tidak memulangkan kepentingan umum atau kebaikan kepada rakyat maka

itu bukan tindakan pemerintah yang bertanggungjawab.



2. Tidak dinafikan judi dan arak memang mempunyai keuntungan dan beberapa

manfaat untuk pihak-pihak tertentu. Namun, ancaman dan bahayanya jauh lebih

besar dibandingkan manfaat yang bakal diterima.


Al-Quran menyebut:

(maksud) “Mereka bertanya engkau (wahai Muhammad) tentang arak dan judi.

Katakanlah: “Pada keduanya ada dosa (keburukan) yang besar dan manfaat

kepada manusia. Namun dosa (keburukan) keduanya lebih besar dari manfaatnya”

(Surah al-Baqarah ayat 219).


Maka dengan itu, sekadar untuk digunakan cukai judi berkenaan untuk kegiatan

sukan bukan satu alasan. Kerosakan judi lebih besar dari manfaat yang akan diterima.

Membiayaan untuk membaikinya nanti jauh lebih tinggi.



3. Judi sama ada 'dilesenkan' atau tidak dilesen keburukannya sentiasa dominan.

Ia menyebabkan pembaziran tanpa sebab, sikap bergantung nasib tanpa kewarasan,

merosakkan keluarga, menimbulkan tabiat suka berhutang, membawa kepada kejatuhan

ekonomi individu secara mengejut, ketagihan tabiat buruk tersebut yang luar biasa dan

berbagai lagi keburukan yang lain. Akal waras manusia dari semua aliran agama dan

masyarakat, bahkan yang tidak beragama pun tetap menyatakan judi selalu merosakkan

masyarakat.


4. Jika pun judi itu untuk masyarakat bukan Islam, saya tetap katakan masyarakat

Malaysia bukan masyarakat judi. Tiada ajaran mana-mana agama yang menggalakkan

judi. Tiada siapa pun dalam mana-mana bangsa atau agama dalam negara ini sanggup

untuk mendakwa 'judi adalah budaya kami', atau 'kebanggaan hidup kami'.

Jika ada, itu terkeluar dari norma kewarasan. Tiada isteri yang normal sukakan suaminya

kaki judi. Maka, jangan kaitkan atau hidupkan budaya ini secara terbuka dalam

masyarakat kita. Kaki judi sentiasa dipandang negatif dalam semua masyarakat yang

rasional.



5. Judi akan menggalakkan tabiat berhutang dan pergaduhan. Sama ada diberi lesen

atau tidak, tetap sama. Hutang along atau hutang bank, tetap bebanan hutang.

Jika diberi lesen terbuka, yang tertutup tetap berjalan seperti biasa. Itu bukan alasan

yang munasabah.



6. Peranan pemerintah adalah mencegah keburukan, bukan menaja atau bersaing

dengan penjenayah. Cadangan tersebut hanya mengubah 'tauke' sahaja dari yang

berlesen kepada yang tidak berlesen. Apakah nanti mungkin kita akan wujudkan

tempat 'hisap candu berlesen' untuk mengelakkan penagih candu menghisapnya

di tempat yang tidak berlesen?


Jangan fikir lesen dan cukai keuntungan sahaja, kerajaan hendaklah berfikir kesan

yang akan menimpa rakyat nanti!



Maka, saya sekali lagi membantah cadangan ini dan meminta semua rakyat

Malaysia yang waras dan mempunyai nilai-nilai agama dan moral membantah

cadangan ini!


sumber: http://malaysiakini.com


Jika dulu, nak mengelakkan zina dan pertambahan anak luar nikah dicadangkan

kondom percuma, hari ini cadangan lesen untuk berjudi. Pemimpin perlu matang

membuat sesuatu keputusan dan pandangan supaya ia tidak lari dari batas Islam.


sekadar pandangan dan perkongsian.

Mujahidah.

0 ulasan: