Ads 468x60px

Isnin, April 25, 2005

Islam Akan Menjadi Terasing Lagi

Rasulullah s.a.w bersabda: " Sesungguhnya Islam itu pada mulanya asing (tidak dikenal) dan kelak akan kembali asing lagi, maka berbahagialah orang yang asing; iaitu mereka yang memperbaiki apa yang dirosak manusia dari sunnahku pada masa setelah aku tiada nanti ";- (Riwayat Turmidzi).

Hadis tersebut menjelaskan bahawa agama Islam itu pada mulanya adalah asing, yakni seperti orang yang merantau di suatu negeri pada awalnya tidak dikenal orang di negeri itu, bahkan kadang-kala dibenci oleh penduduknya.

Begitu juga agama Islam akan kembali pada masa yang akhirnya menjadi asing lagi, ertinya ajarannya tidak dikenal orang. Agama Islam menjadi asing sedikit demi sedikit sehingga tidak dirasakan oleh pemeluknya; ajaran demi ajaran ditinggalkan dan akhirnya Islam asing bagi mereka.

Ajaran-ajarannya hanya tinggal tulisannya sahaja, nilai-nilai yang terkandung di dalamnya tidak diperhatikan. Orang yang menyebarkan ajaran Islam dianggap asing kerana tidak mengikuti kebanyakan ajaran yang dianuti oleh manusia; padahal ajaran yang dianut oleh mereka menyimpang dari Syari'at (al-Quran dan Hadis). Sebaliknya berbahagialah orang yang dipandang asing itu, kerana ia tetap berpegang pada sunnah Nabi s.a.w. yang ditinggalkan oleh ramai manusia di masa itu.

Ramai Orang Muda Menyebut Dalil Agama;

Berkaitan akhir zaman maka Rasulullah s.a.w. telah bersabda: "Akan muncul di akhir zaman nanti, suatu kaum yang terdiri dari orang-orang muda yang masih mentah fikirannya (cetek faham agamanya). Mereka banyak mengucapkan perkataan Khairil Bariyah (firman Allah dan hadis Rasul), tetapi iman mereka masih lemah. Pada hakikatnya mereka telah keluar agama seperti anak panah yang lepas dari busurnya. Di mana sahaja kamu dapat menemuinya, maka hapuskanlah mereka itu, siapa yang dapat menghapus mereka, kelak akan mendapat pahala di hari kiamat. ";-(Riwayat Bukhari dan Muslim)

Hadis ini menjelaskan akan datangnya suatu masa, di mana ramai orang-orang muda yang masih mentah fikirannya, selalu bercakap menggunakan dalil-dalil Al-Quran dan Hadis, padahal mereka masih belum memahami ilmu-ilmu penghantarnya atau ilmu untuk memahami ayat-ayat Al-Quran dan Hadis Nabi.

Oleh kerana tidak mempunyai ilmu penghantar tersebut mereka mengambil ayat atau hadis tanpa mendalami maksud dan tujuan daripada ayat Al-Quran atau hadis tersebut iaitu bagaimana ianya (ayat atau hadis tersebut) diterapkan.

Kadang-kadang mereka hanya boleh membaca terjemahannya sahaja, dengan tidak memperhatikan teks aslinya, sudah merasa ghairah menjadi ulama dengan pidato yang menggebu-gebu.

Akhirnya apa yang terjadi? Tidak lain adalah kesalahfahaman terhadap Islam, kerana bentuk yang demikian Islam secara tidak langsung disalahgunakan. Tafsiran mereka terhadap ayat-ayat atau hadis tersebut disesuaikan dengan hawa nafsu, secara tidak sedar mereka telah keluar dari Islam.

Dengan itu mereka mengucapkan ayat-ayat Al-Quran atau hadis tidak sesuai dengan tujuan si Pembuatnya; iaitu Allah dan RasulNya kerana mereka tidak memahami Al-Quran dan hadis secara mendalam.

Isnin, April 18, 2005

Peristiwa Palestin akibat perpecahan umat

Oleh: DR. SAODAH ABD. RAHMAN
umat Islam gelisah melihat kekejaman Yahudi terhadap rakyat Palestin. Seluruh negara Islam menunjukkan sikap marah dan benci terhadap rejim Yahudi Ariel Sharon, yang terkenal sebagai pemimpin Yahudi yang ganas dan tidak berperikemanusiaan. Peristiwa yang berlaku di Palestin itu perlu dijadikan renungan oleh umat Islam. Sebagai umat Islam, peristiwa penyembelihan rakyat Palestin di Shatila dan Shubra sepatutnya dijadikan satu iktibar yang baik, yang boleh membangkitkan semangat perpaduan di kalangan orang Arab.

Israel adalah sebuah negara yang kecil, yang dikelilingi oleh negara-negara Arab dan Islam di Timur Tengah. Persoalannya, kenapa negara kecil itu begitu berkuasa dan berani menunjukkan keganasan terhadap rakyat Palestin, sedangkan mereka dikelilingi oleh negara-negara Arab?

Umat Islam dan negara-negara Arab hanya mampu untuk menunjukkan kemarahan mereka, dan meminta bantuan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu menyelesaikan masalah keganasan Yahudi. Kenapa umat Islam begitu lemah dan tidak bermaya untuk menghalang kuasa Yahudi bermaharajalela di tanah suci Baitulmaqdis?

Ini perlu dilihat dan dikaji mengikut perspektif ajaran Islam. Pengabaian terhadap ajaran al-Quran, hadis dan sejarah adalah antara faktor utama di mana umat Islam sering menjadi bahan persendaan masyarakat agama lain.

Faktor utama yang menggalakkan penindasan Yahudi terhadap rakyat Palestin ialah, kegiatan yang dilakukan oleh Yahudi terhadap rakyat Palestin tidak mendapat tentangan dunia Barat secara serius, malah sokongan Amerika Syarikat terhadap Israel telah bermula sejak Zionis bertapak di Jerusalem.

Sikap dan mentaliti masyarakat Arab juga merupakan salah satu faktor terpenting yang menyebabkan mereka mudah dipersendakan dan ditindas oleh Yahudi dan Amerika. Mereka kurang prihatin terhadap firman Allah dalam surah 42 (al-Syura) ayat 13 yang bermaksud;

``Dia (Allah) telah mensyariatkan bagi kamu tentang agama apa yang telah diwasiatkan-Nya kepada Nuh, dan apa yang telah Kami wahyukan kepadamu, dan apa yang telah Kami wasiatkan kepada Ibrahim, Musa dan Isa iaitu: Tegakkanlah agama dan janganlah kamu berpecah belah tentangnya.''

Perkataan tegakkanlah agama dan janganlah kamu berpecah belah, perlu dijadikan prinsip hidup umat Islam. Usaha untuk menyatupadukan masyarakat itu merupakan satu matlamat perjuangan hidup umat Islam. Tetapi malangnya, firman Allah dalam soal ini, tidak dihiraukan oleh umat Islam keseluruhannya.

Paling menyukarkan keadaan apabila umat Islam saling bertikai dan bermusuhan apabila keadaan keselamatan dan kedudukan mereka terancam. Peristiwa yang berlaku di negara Arab dan Palestin perlu dijadikan satu panduan hidup umat Islam keseluruhannya.

Dalam keadaan mereka ditindas oleh Israel dan Amerika, rakyat Palestin dan Arab berpecah-belah. Pembunuhan sesama sendiri sering berlaku. Perebutan kuasa sesama sendiri, bukan sahaja boleh menyebabkan keadaan menjadi lemah, malah ia juga menjuruskan kepada sistem perhambaan kepada Barat.

Pemimpin-pemimpin negara tersebut gemar menjadi boneka kepada Barat. Mereka tidak ada pendirian dalam menentukan dasar negara dan sistem pemerintahan yang mantap. Ini disebabkan oleh tahap penyalahgunaan kuasa dan rasuah berada dalam tahap yang tinggi. Oleh itu, mereka tidak prihatin terhadap kepentingan agama, masyarakat dan negara.

Sikap pemimpin mereka yang suka mengikut telunjuk dan arahan dari Barat je-las kelihatan dalam Perang Iraq-Kuwait pada 2 Ogos sehingga 8 November 1990.

Minyak adalah sumber kekayaan dan senjata utama negara-negara Arab. Sum-ber kekayaan yang dimiliki oleh mereka sudah cukup untuk memperkukuhkan kedudukan ekonomi dan kuasa mereka.

Sikap mementingkan kuasa, tanpa menghiraukan kepentingan ramai telah mengheret negara Arab berperang sesama sendiri, dan secara langsung menjemput Amerika dan negara Eropah lain menyertai peperangan membunuh sesama umat Islam. Ini merupakan satu sejarah hitam dalam negara yang kaya dengan sumber kekayaan asli. Peristiwa Perang Iraq-Kuwait berlaku adalah berkaitan dengan penentuan harga minyak.

Iraq meminta kerjasama dari Kuwait dan negara-negara Arab yang kaya supaya menaikkan harga minyak untuk membantu kedudukan ekonomi negaranya. Kejatuhan harga minyak ketika itu telah memberi satu tekanan yang hebat kepada kedudukan ekonomi Iraq.

Harga minyak dunia telah jatuh daripada AS$39-$40 dalam tahun 1980 kepada AS$18-$12 dalam tahun 1988. Menteri minyak Kuwait mahu menjual lebih banyak minyak dengan menurunkan harga, de-ngan tujuan untuk mendapat kekayaan secepat mungkin. Sedangkan Saddam Hussein mahu undang-undang lebih serius dalam menentukan harga minyak, dengan harapan harga minyak akan naik sehingga sekurang-kurangnya AS$25 satu tong.

Penurunan harga minyak memberi keuntungan kepada Amerika dan Israel, yang amat memerlukan minyak yang murah. Pada 17 dan 18 Julai 1990, Saddam secara terbuka menuduh Kuwait dan Emiriah Arab Bersatu (UAE) membantu plot Zionis. Kuwait tidak memberi perhatian terhadap rayuan Saddam, dan meneruskan rancangannya menjual minyak de-ngan harga yang murah. Ini membangkitkan kemarahan Saddam lalu mengisytiharkan peperangan ke atas Kuwait.

Kekuatan Palestin dan negara Arab akan wujud jika mereka bersatu dan memperkukuhkan persaudaraan sesama sendiri. Sekarang mereka menjadi terlalu gelisah, dan hanya mampu menjerit dan berarak di jalan raya untuk mendapat simpati masyarakat luar.

Kekuatan tidak akan wujud jika tidak ada persediaan dan pakatan yang kukuh sesama mereka. Masyarakat luar sukar untuk menghulur bantuan jika masyarakat Arab membunuh dan tidak menjalinkan kasih sayang sesama sendiri. Mereka perlu amal konsep persaudaraan yang kukuh jika mereka ingin dihormati oleh orang luar dan digeruni oleh Israel.

Sikap negatif masyarakat Arab ini tidak perlu dijadikan sebagai corak hidup masyarakat dalam negara ini. Perasaan kasih sayang, hormat menghormati dan tolak ansur sesama sendiri perlu dijadikan sebagai prinsip hidup. Sikap membangkitkan semangat pergaduhan dan permusuhan itu adalah punca kepada kehancuran.

Peristiwa yang berlaku di Palestin dan negara-negara Arab, akibat daripada perpecahan umat perlu direnung oleh kesemua pergerakan Islam, politik dan masyarakat. Keamanan yang wujud dalam negara ini perlu dikekalkan supaya kita menjadi satu negara Islam yang dihormati. Pergaduhan, sikap memaki hamun dan menjerit dengan suara lantang bukan cara untuk menyelesaikan masalah. Perundingan, faham memahami dan rasional dalam pemikiran adalah satu cara yang baik untuk memajukan negara.

* DR. SAODAH ABD. RAHMAN ialah pensyarah Jabatan Usuluddin
dan Perbandingan Agama, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia.

Selasa, April 05, 2005

ADAB BERSOLEK DALAM ISLAM

Adab ini adalah amalan yang diamalkan oleh Nabi Yusuf A.S. yang telah diangkatkan darjat dari hamba menjadi seorang pembesar.

Barangsiapa yang mengamalkannya setiap hari dan sebati dalam hidupnya, maka mereka akan sentiasa dipandang manis, berseri dan dikasihi pada setiap mata yang memandangnya. Ia juga merupakan rahsia awet muda dan Insya Allah apa yang dihajati akan tercapai.

Amalan:
Apabila menghadap cermin bacalah:
1. Selawat 3 X
2. Bismillahirahmanirahim segala puji bagi Allah yang memperbaiki tingkah laku, maka perhaluskan budi pekertiku.

Sentuh muka dengan jari dimulakan dengan
1. Mulut
2. Hidung
3. Mata
4. Dahi

Mulalah bersolek. Setelah selesai

Baca Bismillahirahmanirahim

Doa nabi Yusof (surah Al Baqarah ayat 165) 10X
Sambil niat apa yang terjadi sambil merenung ke
1. Mulut
2. Hidung
3. Mata
4. Dagu