Ads 468x60px

Isnin, April 25, 2005

Ramai Orang Muda Menyebut Dalil Agama;

Berkaitan akhir zaman maka Rasulullah s.a.w. telah bersabda: "Akan muncul di akhir zaman nanti, suatu kaum yang terdiri dari orang-orang muda yang masih mentah fikirannya (cetek faham agamanya). Mereka banyak mengucapkan perkataan Khairil Bariyah (firman Allah dan hadis Rasul), tetapi iman mereka masih lemah. Pada hakikatnya mereka telah keluar agama seperti anak panah yang lepas dari busurnya. Di mana sahaja kamu dapat menemuinya, maka hapuskanlah mereka itu, siapa yang dapat menghapus mereka, kelak akan mendapat pahala di hari kiamat. ";-(Riwayat Bukhari dan Muslim)

Hadis ini menjelaskan akan datangnya suatu masa, di mana ramai orang-orang muda yang masih mentah fikirannya, selalu bercakap menggunakan dalil-dalil Al-Quran dan Hadis, padahal mereka masih belum memahami ilmu-ilmu penghantarnya atau ilmu untuk memahami ayat-ayat Al-Quran dan Hadis Nabi.

Oleh kerana tidak mempunyai ilmu penghantar tersebut mereka mengambil ayat atau hadis tanpa mendalami maksud dan tujuan daripada ayat Al-Quran atau hadis tersebut iaitu bagaimana ianya (ayat atau hadis tersebut) diterapkan.

Kadang-kadang mereka hanya boleh membaca terjemahannya sahaja, dengan tidak memperhatikan teks aslinya, sudah merasa ghairah menjadi ulama dengan pidato yang menggebu-gebu.

Akhirnya apa yang terjadi? Tidak lain adalah kesalahfahaman terhadap Islam, kerana bentuk yang demikian Islam secara tidak langsung disalahgunakan. Tafsiran mereka terhadap ayat-ayat atau hadis tersebut disesuaikan dengan hawa nafsu, secara tidak sedar mereka telah keluar dari Islam.

Dengan itu mereka mengucapkan ayat-ayat Al-Quran atau hadis tidak sesuai dengan tujuan si Pembuatnya; iaitu Allah dan RasulNya kerana mereka tidak memahami Al-Quran dan hadis secara mendalam.

0 ulasan: