Oleh: DR. SAODAH ABD. RAHMAN
umat Islam gelisah melihat kekejaman Yahudi terhadap rakyat Palestin. Seluruh negara Islam menunjukkan sikap marah dan benci terhadap rejim Yahudi Ariel Sharon, yang terkenal sebagai pemimpin Yahudi yang ganas dan tidak berperikemanusiaan. Peristiwa yang berlaku di Palestin itu perlu dijadikan renungan oleh umat Islam. Sebagai umat Islam, peristiwa penyembelihan rakyat Palestin di Shatila dan Shubra sepatutnya dijadikan satu iktibar yang baik, yang boleh membangkitkan semangat perpaduan di kalangan orang Arab.
Israel adalah sebuah negara yang kecil, yang dikelilingi oleh negara-negara Arab dan Islam di Timur Tengah. Persoalannya, kenapa negara kecil itu begitu berkuasa dan berani menunjukkan keganasan terhadap rakyat Palestin, sedangkan mereka dikelilingi oleh negara-negara Arab?
Umat Islam dan negara-negara Arab hanya mampu untuk menunjukkan kemarahan mereka, dan meminta bantuan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu menyelesaikan masalah keganasan Yahudi. Kenapa umat Islam begitu lemah dan tidak bermaya untuk menghalang kuasa Yahudi bermaharajalela di tanah suci Baitulmaqdis?
Ini perlu dilihat dan dikaji mengikut perspektif ajaran Islam. Pengabaian terhadap ajaran al-Quran, hadis dan sejarah adalah antara faktor utama di mana umat Islam sering menjadi bahan persendaan masyarakat agama lain.
Faktor utama yang menggalakkan penindasan Yahudi terhadap rakyat Palestin ialah, kegiatan yang dilakukan oleh Yahudi terhadap rakyat Palestin tidak mendapat tentangan dunia Barat secara serius, malah sokongan Amerika Syarikat terhadap Israel telah bermula sejak Zionis bertapak di Jerusalem.
Sikap dan mentaliti masyarakat Arab juga merupakan salah satu faktor terpenting yang menyebabkan mereka mudah dipersendakan dan ditindas oleh Yahudi dan Amerika. Mereka kurang prihatin terhadap firman Allah dalam surah 42 (al-Syura) ayat 13 yang bermaksud;
``Dia (Allah) telah mensyariatkan bagi kamu tentang agama apa yang telah diwasiatkan-Nya kepada Nuh, dan apa yang telah Kami wahyukan kepadamu, dan apa yang telah Kami wasiatkan kepada Ibrahim, Musa dan Isa iaitu: Tegakkanlah agama dan janganlah kamu berpecah belah tentangnya.''
Perkataan tegakkanlah agama dan janganlah kamu berpecah belah, perlu dijadikan prinsip hidup umat Islam. Usaha untuk menyatupadukan masyarakat itu merupakan satu matlamat perjuangan hidup umat Islam. Tetapi malangnya, firman Allah dalam soal ini, tidak dihiraukan oleh umat Islam keseluruhannya.
Paling menyukarkan keadaan apabila umat Islam saling bertikai dan bermusuhan apabila keadaan keselamatan dan kedudukan mereka terancam. Peristiwa yang berlaku di negara Arab dan Palestin perlu dijadikan satu panduan hidup umat Islam keseluruhannya.
Dalam keadaan mereka ditindas oleh Israel dan Amerika, rakyat Palestin dan Arab berpecah-belah. Pembunuhan sesama sendiri sering berlaku. Perebutan kuasa sesama sendiri, bukan sahaja boleh menyebabkan keadaan menjadi lemah, malah ia juga menjuruskan kepada sistem perhambaan kepada Barat.
Pemimpin-pemimpin negara tersebut gemar menjadi boneka kepada Barat. Mereka tidak ada pendirian dalam menentukan dasar negara dan sistem pemerintahan yang mantap. Ini disebabkan oleh tahap penyalahgunaan kuasa dan rasuah berada dalam tahap yang tinggi. Oleh itu, mereka tidak prihatin terhadap kepentingan agama, masyarakat dan negara.
Sikap pemimpin mereka yang suka mengikut telunjuk dan arahan dari Barat je-las kelihatan dalam Perang Iraq-Kuwait pada 2 Ogos sehingga 8 November 1990.
Minyak adalah sumber kekayaan dan senjata utama negara-negara Arab. Sum-ber kekayaan yang dimiliki oleh mereka sudah cukup untuk memperkukuhkan kedudukan ekonomi dan kuasa mereka.
Sikap mementingkan kuasa, tanpa menghiraukan kepentingan ramai telah mengheret negara Arab berperang sesama sendiri, dan secara langsung menjemput Amerika dan negara Eropah lain menyertai peperangan membunuh sesama umat Islam. Ini merupakan satu sejarah hitam dalam negara yang kaya dengan sumber kekayaan asli. Peristiwa Perang Iraq-Kuwait berlaku adalah berkaitan dengan penentuan harga minyak.
Iraq meminta kerjasama dari Kuwait dan negara-negara Arab yang kaya supaya menaikkan harga minyak untuk membantu kedudukan ekonomi negaranya. Kejatuhan harga minyak ketika itu telah memberi satu tekanan yang hebat kepada kedudukan ekonomi Iraq.
Harga minyak dunia telah jatuh daripada AS$39-$40 dalam tahun 1980 kepada AS$18-$12 dalam tahun 1988. Menteri minyak Kuwait mahu menjual lebih banyak minyak dengan menurunkan harga, de-ngan tujuan untuk mendapat kekayaan secepat mungkin. Sedangkan Saddam Hussein mahu undang-undang lebih serius dalam menentukan harga minyak, dengan harapan harga minyak akan naik sehingga sekurang-kurangnya AS$25 satu tong.
Penurunan harga minyak memberi keuntungan kepada Amerika dan Israel, yang amat memerlukan minyak yang murah. Pada 17 dan 18 Julai 1990, Saddam secara terbuka menuduh Kuwait dan Emiriah Arab Bersatu (UAE) membantu plot Zionis. Kuwait tidak memberi perhatian terhadap rayuan Saddam, dan meneruskan rancangannya menjual minyak de-ngan harga yang murah. Ini membangkitkan kemarahan Saddam lalu mengisytiharkan peperangan ke atas Kuwait.
Kekuatan Palestin dan negara Arab akan wujud jika mereka bersatu dan memperkukuhkan persaudaraan sesama sendiri. Sekarang mereka menjadi terlalu gelisah, dan hanya mampu menjerit dan berarak di jalan raya untuk mendapat simpati masyarakat luar.
Kekuatan tidak akan wujud jika tidak ada persediaan dan pakatan yang kukuh sesama mereka. Masyarakat luar sukar untuk menghulur bantuan jika masyarakat Arab membunuh dan tidak menjalinkan kasih sayang sesama sendiri. Mereka perlu amal konsep persaudaraan yang kukuh jika mereka ingin dihormati oleh orang luar dan digeruni oleh Israel.
Sikap negatif masyarakat Arab ini tidak perlu dijadikan sebagai corak hidup masyarakat dalam negara ini. Perasaan kasih sayang, hormat menghormati dan tolak ansur sesama sendiri perlu dijadikan sebagai prinsip hidup. Sikap membangkitkan semangat pergaduhan dan permusuhan itu adalah punca kepada kehancuran.
Peristiwa yang berlaku di Palestin dan negara-negara Arab, akibat daripada perpecahan umat perlu direnung oleh kesemua pergerakan Islam, politik dan masyarakat. Keamanan yang wujud dalam negara ini perlu dikekalkan supaya kita menjadi satu negara Islam yang dihormati. Pergaduhan, sikap memaki hamun dan menjerit dengan suara lantang bukan cara untuk menyelesaikan masalah. Perundingan, faham memahami dan rasional dalam pemikiran adalah satu cara yang baik untuk memajukan negara.
* DR. SAODAH ABD. RAHMAN ialah pensyarah Jabatan Usuluddin
dan Perbandingan Agama, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia.
Langgan:
Catat Ulasan (Atom)
0 ulasan:
Catat Ulasan